Tuesday, January 11, 2011

-Lelaki Bernama Halimunan-

Berbelas tahun dulu, ada seorang budak lelaki yang kurus kering. Sepet sebelah mata. Tinggi. Halimunan. Keinginannya tinggi tapi mungkin keinginannya kurang betul. Dia mahukan perhatian budak-budak perempuan yang comel di sekolah rendahnya. Namun bila dibanding antara dia dengan budak-budak perempuan itu, secara fizikal, mereka boleh dikatakan ibarat… jamban duduk dengan kerusi Jati.
Datang zaman degree, akhirnya dapat juga dia seorang teman wanita. Berdada. Berwajah comel. Masih mentah. Asalkan ada pasangan… kerana rakan-rakan sebaya yang lain juga ada pasangan. Mempunyai pasangan di alam remaja adalah seperti menjunjung sepanduk yang berbunyi: “Hey, tengok, ada orang hendakkan aku!” Jelas sekali budak lelaki tadi tidak suka mejadi halimunan. Dia cuba pelbagai sukan supaya ototnya lebih timbul dan tubuhnya lebih gagah. Bermain bola sepak, khasnya, boleh membuatkan dia kelihatan lebih menarik. Dia gigih belajar asalkan dapat menjadi saintis, atau juruterbang, atau peguam. Pendek kata apa saja pekerjaan yang nampak rumit namun sofistikated. Dia yakin gelaran “Dr.” atau “Prof.” atau “Captain” cukup gah untuk mengangkat kelelakiannya agar budak-budak perempuan yang comel dulu akan menyesal apabila melihatnya. Tambahan, gelaran sebegitu akan memberinya gaji yang tinggi untuk bergaya, walaupun dia buta fesyen dan barangkali pembedahan plastik lebih dapat membantu.
Sekarang dipertengahan 20an, Si Halimunan berasa on top of the world.
Seperti yang dijangka, dia telah memiliki pelbagai sijil yang hebat. Pekerjaannya sudah lebih dari stabil. Yang muda dan naif memandang tinggi terhadapnya. Dia mempunyai seorang teman wanita yg kedua sejak zaman universiti, malangnya dia tidak hargai. Tumpuan Si Halimunan terletak pada gadis-gadis lain di sekeliling. Tenaga dan minda Si Halimunan dihabiskan kepada cuba menjadi jejaka idaman. Dia paling gemar menjadi hero; menolong mana-mana gadis cantik di dalam kesusahan. Tidak kira agama, bangsa, umur, single or in a relationship- asalkan gadis itu berdahi licin, Si Halimunan akan minat dan pikat menggunakan kata-kata manis. Yang mana dia mengaku suka, dia mengaku suka. Yang mana dia tidak mengaku suka, dikata pula orang itu sukakannya. Begitu tinggi keyakinan dia.
Anehnya, Si Halimunan saja yang yakin dia on top of the world. Orang lain tidak.
Selain mencanang ke orang bahawa dia disukai oleh gadis itu dan ini, Si Halimunan juga ada tabiat menunjuk. Menunjuk kepada dunia foto-fotonya bersama pelbagai gadis cantik sebagai bukti bahawa dia sudah kacak. Menunjuk kepada dunia pencapaian-pencapaiannya sebagai bukti bahawa dia sudah berjaya. Menunjuk kepada dunia betapa aktifnya dia bersukan dan bersenam sebagai bukti bahawa dia bukan budak kurus kering yang dulu. Menunjuk kepada dunia segala ilmu dunia dan agama yang dia tahu, segala negara yang pernah dia kunjung, sebagai bukti bahawa dia bukan calang-calang orang yang tidak berpelajaran.
Orang lain sebagai pemerhati merasa kasihan sama Si Halimunan. Hilang arah. Terlalu mencuba. Seronok sendiri. Dihantui waktu silam sebagai seorang budak lelaki yang tidak diangkat julang. Namun kerana simpati akan keyakinan dirinya yang terlalu tinggi, semua orang tidak sampai hati hendak berterus-terang.
Satu hari, Si Halimunan terima sekeping kad. (Bekas) teman wanitanya yg pertama bakal berkahwin. Si Halimunan merenung cermin. Aku mesti pergi. Lagipun kan aku sekarang dah lain? Aku bukan lagi halimunan. Aku mesti pergi dan tunjuk dia, tunjuk rakan-rakan lama, bahawa aku bukan aku yang dulu.
Pergilah Si Halimunan ke majlis perkahwinan tersebut. Sederhana tapi manis. Rakan-rakan lama (lelaki) yang datang semuanya sama ada terlalu kurus atau terlalu gemuk. Tiada yang menonjol atau berkarisma. Masing-masing berpekerjaan biasa. Sudah beristeri atau bertunang. Tidak sebebas dia. Bosan.
Rakan-rakan lama (perempuan) ramai yang semakin cantik. Semua memandang dia dengan senyuman. Si Halimunan kembang. Dia tahu dia semakin segak di mata mereka. Senyum-senyum itu membuktikannya. Bila mereka tanya apa dia bikin sekarang, dia bangga bercerita. Malu-malu tapi mahu; mahu juga bercerita.
Dia mengintai isi rumah yang sarat dengan tetamu mengambil gambar pengantin di atas pelamin. Bekas teman wanitanya masih jelita. Berisi sikit, fikirnya. Tapi jelita. Sekali lagi membuktikan Si Halimunan bukan calang-calang lelaki kerana dia pernah dicintai oleh wanita sejelita itu dulu. Suaminya, aduh, berkali ganda lagi elok aku,fikirnya. Dengar cerita kerja dia juruteknik. Berkali-kali ganda lagi elok aku, tegasnya. Tapi ah, perempuan itu semua aku dah rasa. Kasihan. Bosan.
Salam demi salam, sembang demi sembang, Si Halimunan ternampak bekas teman wanitanya zaman universiti. Yang tidak dihargai. Bukan dia ada ramai sangat teman wanita serius, cuma dua, masakan dia tidak ingat. Cuma yang ini putusnya tidak berumum. Si Halimunan sibuk bekerja dan melayan kenalan-kenalan perempuan yang lain, dia tidak ada masa untuk teman wanita yang seorang ini. Putuslah.
Mata mereka bertemu. Gadis berambut panjang itu senyum ramah, tidak gentar. Malah dia datang ke meja di mana Si Halimunan sedang menjamu nasi minyak. Si Halimunan rasa janggal namun lagak biasa. Entah-entah dia nak aku balik…
“Apa khabar?”
“Baik. Awak?”
“Baik.”
Dia terpandang cincin di jari Gadis. Dahulu dia sama Gadis bukan setahun dua, tapi bertahun. Bertahun-tahun Gadis setia, bertahun-tahun Gadis menunggu. Menunggu dia matang. Menunggu dia berpijak di bumi yang nyata. Menunggu dia mahu. Menunggu dia berkata “pergi mampus dengan cuba menjadi hebat, pergi mampus dengan gadis-gadis lain, sekarang saya cuma nak awak.” Tapi tidak ada.
Selama dia kenal Gadis, dia tidak pernah nampak cincin belah rotan itu.
“Ada orang risik.” Ujar Gadis tanpa disoal. Gadis sedar jarinya ditenung.
“Oh.”
Cepatnya, bisik Si Halimunan. Tiba-tiba dia berasa Gadis cantik amat.
“Indah kan dia-orang? Padan.” Gadis senyum mengeluh. Fikirannya menerawang.
“Hmm.”
Si Halimunan tidak pasti jika perkahwinan itu indah. Dia tidak pernah terfikir ke situ.Dunia belum kiamat. Hidup masih panjang. Banyak benda aku boleh conquer. Jangan kata kahwin, teman wanita yang serius pun rasanya aku tak perlu.
Pengantin keluar dari pelamin dan rumah, sedia untuk menyapa para tetamu.
Tiba-tiba Gadis bersuara.
“Kita semua sama. Kerjalah melangit, kawanlah beribu, bergaji juta-juta pun kita sebenarnya sama. Takda siapa lagi bagus dari siapa-siapa. Boleh enjoy dengan seberapa ramai orang pun tapi in the end, dalam berbillion penduduk dunia ni, yang betul-betul nak hidup dengan kita sampai akhirat ada satu orang je.”
Gadis berlalu meninggalkan Si Halimunan untuk bersalam dengan pengantin.
Suapan Si Halimunan terhenti. Dia berfikir sejenak, kemudian dia bangun dari kerusi dan mengundur diri dari majlis. Rakan-rakannya terpinga-pinga namun Si Halimunan tidak endah. Kereta importnya dipandu pulang ke rumah. Di dalam bilik dia mengunci diri dan memandang cermin. Dalam cermin itu dia nampak seorang budak lelaki yang kecil, yang sepet sebelah mata, yang kurus kering, yang namanya Raouf.
*diolah semula drpd karya Wani Ardy-Lelaki Bernama Halimunan*
p/s: aku meletakkan diri sendiri dan masa hadapan aku dalam kasut si Halimunan...aku x nk pengakhiran begitu...aku mulai sedar disebabkan Dia...

No comments: